Panduan Ketika Jatuh Cinta
Tidak
seorang pun daripada manusia yang mampu membohongi hakikat, bahawa di dalam
tubuhnya itu ada hati. Dan hati tersebut pula diciptakan oleh Allah dengan satu
keistimewaan, iaitu menjana al-hub yakni rasa cinta,kasih dan sayang.
Itulah
yang dinamakan sebagai fitrah.
Menidakkan
peranan dan hakikat fitrah seumpama cuba menukar manusia menjadi satu makhluk
yang lain. Kerja yang sia-sia dan hanya mengundang derita tiada sudah.
Justeru
terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama bercakap dengan diri sendiri.
Bisikkan kepada diri sendiri bahawa tidak ada salahnya mengakui hakikat
penciptaan seorang manusia, yang ada jiwa dan ada cinta.
Islam
tidak pernah menyekat fitrah dan naluri manusia. Jika manusia melihat Islam
sebagai suatu peraturan dan cara hidup yang menyekat, bermakna manusia tersebut
masih belum mengenali Islam dalam ertikata yang sebenar.
TERIMA
HAKIKAT, FAHAMI DAN BERTINDAK
Lihatlah
jam di dinding. Perhati detikan jarum panjang dan pendeknya. Renungi dan
tanamkan dalam diri anda, bahawa lambat laun fitrah dalam diri tetap akan
bersuara. Kebenaran itu tidak bisu. Sampai masanya, ia tetap akan bercakap
dengan anda.
Menyedari
hakikat tersebut, maka jalan yang bijak bukanlah ‘memerangi’ sebaliknya
bersedia untuk menerima. Jangan perangi fitrah dalam diri anda mahupun diri
orang lain. Apabila seorang saudara anda mengeluh jatuh hati atau jatuh cinta,
jangan dikecam orang tersebut. Begitu juga apabila hati anda bersuara dengan
jelas kepada anda tentang fitrahnya, maka jangan dikecam jiwa anda sendiri.
Jika dari
awal, anda menyediakan otak untuk ‘menerima’ dan bukannya ‘memerangi’ , maka
saya kira anda boleh bertindak dengan lebih rasional, matang dan bijak.
Bertindak atas dasar kefahaman dan bukannya emosi semata-mata.
PANDU KE
JALAN SELAMAT
Anda
perlu faham bahawa jatuh cinta itu bukan suatu kesalahan. Jika ditakdirkan
tiba-tiba anda terjatuh hati, atau terpikat, atau tersuka kepada seseorang yang
mana sebelumnya perasaan tersebut langsung tidak ada, maka terima dan raikannya
perasaan ataupun ‘suara jiwa’ anda terlebih dahulu.
Ini
kerana ada golongan yang kelihatannya langsung tidak mahu bertolak ansur dengan
suara jiwa mereka sendiri. Kata mereka itu suara Syaitan. Suara nafsu. Bukan
suara Iman. Lantas mereka bersifat keras terhadap suara jiwa mereka sendiri,
dan lebih malang apabila orang sekeliling mereka turut dipaksa untuk mengambil
pendirian yang sama.
Meraikan
suara jiwa anda bukan bermakna membiarkan diri anda hanyut. Itu kena jelas.
Sebab itu
saya bercakap soal panduan. Setiap masalah, ada penyelesaian. Setiap perkara,
ada tempat duduknya. Soal hati dan perasaan juga begitu. Ada tempat duduknya
sendiri. Justeru menafikan tempat duduknya adalah suatu bentuk kezaliman.
Raikan
perasaan suka. Raikan perasaan minat. Raikan perasaan terpikat. Jangan kecam
dan jangan salahkan diri sendiri. Ini step yang sangat penting ketika anda
jatuh cinta.
Kemudian,
setelah anda mampu meletakkan diri anda dalam konteks yang betul, stabil dan
meraikan bahasa jiwa, maka barulah anda boleh ‘memandu’ fitrah tersebut ke
jalan yang sepatutnya.
PANDUAN
PERTAMA : HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Ini
paling penting. Saat jatuh hati dan terpikat itu, bagaimana sebenarnya hubungan
anda dengan Allah? Solatnya bagaimana, zikirnya bagaimana, bacaan Al-Quran dan
amalan sunat yang lain di tahap mana?
Ini
kerana, suara hati yang selamat adalah suara hati yang paling teguh dan kukuh
hubungannya dengan Allah. Di dalam hadith Nabi s.a.w menyebut bagaimana hati
boleh menjadi hitam, gelap dan keras akibat daripada amalan dosa tanpa taubat.
Justeru
hati yang seperti itu – semoga Allah jauhkan – bicaranya sangat bahaya.
Bicaranya lebih condong ke arah kejahatan, kemungkaran dan kemaksiatan. Maka
berhati-hati. Tatkala mahu mendengar suara hati tersebut, perbaiki dahulu
perhubungan dengan Allah ta’ala.
PANDUAN
KEDUA : IMAN ATAU NAFSU
Tanya
kembali pada hati, apa yang membuatkan anda terpikat? Anda mungkin sukar untuk
jujur dengan orang lain. Tapi anda secara hakikatnya boleh jujur dengan diri
sendiri. Kalau faktor rupa paras atau bentuk tubuhnya sangat dominan di
pertimbangan anda, besar kemungkinan anda akan berdepan dengan jatuh hati pada
banyak lagi keadaan yang lain. Maknanya, hari ini terpikat dengan Timah, esok
dengan Yati pula. Lusa nampaknya Ina lebih baik, dan sebagainya.
Tetapi
jika faktor budi bahasanya, atau kecantikan akhlaknya yang mendominasi, anda
lebih dekat dengan zon selamat. Tinggal lagi untuk mengawal dan mengemudi hati
ke landasan yang sepatutnya.
PANDUAN
KETIGA : MASUK SECARA TERHORMAT
Dalam
Islam, bab hubungan manusia sesama manusia adalah bab yang diperakui. Tidak ada
mana-mana bahagian pun dalam Islam yang mencacatkan atau menidakkan soal
hubungan manusia sesama manusia, sebaliknya sangat dititkberatkan dan
disertakan pula dengan pelbagai panduan dan peraturan.
Maka
untuk menyambut suara hati dan memandunya ke jalan selamat, cara terbaik adalah
dengan ‘masuk’ secara terhormat. Masuklah ke dalam hidupnya dengan cara yang
paling baik. Bukan melalui pintu belakang.
Rumah
buruk macam mana sekalipun, kalau kita masuk ikut tingkap atau pintu dapur,
tuan rumahnya tetap pasti merasa marah.
PANDUAN
KEEMPAT : KETUK PINTU DENGAN ADAB
Sebelum
masuk ke rumah orang, terlebih dahulu ketuklah pintu dan berilah salam. Kita
sebagai tetamu, kalau datang dengan cara baik, insyaAllah tuan rumah juga akan
layan kita dengan cara yang baik.
Apa yang
penting adalah kita lakukan dengan adab sebagai seorang muslim. Cara untuk
‘mengetuk pintu’ itu pelbagai. Samada sendiri atau menggunakan perantaraan
seperti orang tengah dan sebagainya.
PANDUAN
KELIMA : MENGENAL BESAR DAN LEBIH BESAR
Ketika
perasaan tersebut menyesak jiwa dan mengganggu hati kita, biasanya kita terdorong
untuk menganggap bahawa itulah persoalan paling besar yang perlu diatasi.
Dengan apa cara sekalipun, perasaan tersebut mesti tertunai dan si dia mesti
dimiliki.
Sebab itu
ada yang mengistilahkan ia sebagai soal ‘hidup dan mati’. Seolahnya, kalau tak
dapat akan menderita hingga mati.
Islam
ternyata lebih awal menyediakan solusi untuk kita. Islam mendidik kita supaya
membezakan antara perkara besar dengan yang lebih besar. Di dalam sebuah hadith
Nabi s.a.w bersabda tentang takdir : Telah diangkat kalam dan telah keringlah
dakwat.
Bermakna,
semua perkara telah ada ketetapannya, termasuklah apa yang sedang kita
usahakan. Justeru, melipatgandakan usaha dan ikhtiar itu tidak salah, cuma
perlu dikawal supaya tidak ‘mencabar’ perkara yang lebih besar iaitu TAKDIR.
Paling
cantik, mantapkan dahulu iman dan keyakinan dalam diri sebelum ‘mencabar’ diri
untuk tampil ‘mengetuk pintu’.
PANDUAN
KEENAM : BAHAGIA DAN TERSENYUM
Dalam
melaksanakan beberapa panduan di atas, kita akan berdepan dengan beberapa
natijah :
a) Dia
yang kita suka pada awalnya, tetapi apabila diperhalusi rupanya kesukaan
tersebut lebih diserabuti duniawi semata-mata, lalu kita kembali memperkasa
cinta hakiki sebelum akhirnya menemui sejenis ketenangan padanya. Lalu kita
tersenyum dan bahagia.
b ) Dia
yang kita suka, rupanya juga menyukai kita, dan jalan ke arah pernikahan begitu
mudah pula. Akhirnya bersatu di alam rumahtangga. Lalu kita tersenyum dan
bahagia.
c ) Dia
yang kita suka atau terpikat, rupanya sudah mempunyai seseorang di hatinya.
Lalu kita bersabar dan merujuk kembali kepada perkara lebih besar iaitu soal
takdir. Akhirnya kita temui ketenangan sebelum mampu tersenyum dan bahagia.
d ) Dia
yang kita suka rupanya tidak ditakdirkan untuk kita, tetapi dalam waktu yang
sama Allah bukakan jalan baru untuk kita dan dengan mudahnya keperluan kita
terlaksana dengan seseorang yang kita sendiri tidak jangka. Akhirnya kita
tersenyum dan bahagia.
Dalam apa
keadaan sekalipun, kata kunci untuk tersenyum dan bahagia adalah REDHA. Justeru
sangatlah penting untuk memegang panduan pertama yakni soal hubungan hati
dengan Allah dalam menelusuri panduan-panduan seterusnya.
Yang
penting, kita yakin bahawa setiap orang ada takdirnya masing-masing. Justeru
mengapa tidak kita dan mereka berbahagia dengan apa yang telah ditetapkan oleh
Allah ke atas setiap daripada kita?
Sekian.
http://www.myilham.com/blog/2011/10/panduan-ketika-jatuh-cinta/